BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS
$ $ $ $ $ $ $ $ $ $ $ $ $ $ $ $ $ $ $ $

5) Hak untuk mendapatkan keperluan asas







Setiap manusia memerlukan keperluan asas untuk meneruskan hidup. Tanpa keperluan asas manusia tidak dapat meneruskan aktiviti kehidupan seperti biasa. Keperluan asas merangkumi makanan, pakaian dan tempat tinggal.

Mengikut Teori Hierarki Keperluan Maslow, manusia perlu memenuhi keperluan dari tahap paling bawah hingga ke tahap yang tertinggi . Ia merujuk kepada keperluan paling utama yang perlu dipenuhi ialah keperluan fisiologi, yang kedua ,keperluan sosial dan yang tertinggi ialah keperluan rohani.

Sekirannya ada pihak yang menafikan hak kita mendapatkan keperluan asas, maka suatu tindakan yang sewajarnya perlu diambil. Contohnya membuat aduan kepada pihak berkuasa. Pelbagai undang-undang juga boleh dirujuk terhadap penafian hak mendapat keperluan asas. Antara undang-undang yang berkaitan makanan ialah:-


  • Akta makanan, 1983
  • Peraturan-peraturan makanan, 1985
  • Akta Kawalan Bekalan, 1961
  • Akta kawalan Harga, 1946
  • Akta Perihal Dagangan, 1972
  • Akta Timbang dan Sukat, 1972
  • Peraturan-peraturan Timbang dan Sukat, 1973
Sebenarnya hak mendapatkan keperluan asas ini adalah lebih kompleks sekiranya diteliti dari aspek kualiti,kuantiti, kesesuaian masa dan sebagainya. Ia bukan sekadar mendapat keperluan asas tanpa melihat kesesuaian lain, contohnya: jika kouta membeli beras, perlulah diteliti adakah ia sesuai dengan harga, kualiti dan kuantiti yang dibeli? Oleh itu pengguna haruslah bijak seiring dengan ilmu pengetahuan bagi memastikan segala hak pengguna berada di tempat yang sewajarnya.

Terdapat banyak panduan,kaedah atau langkah yang boleh digunakan oleh pengguna dalam mendapatkan keperluan asas yang sewajanya . Antara panduan untuk mendapatkan keperluan asas yang baik serta berkualiti adalah dengan cara:-
  1. pilih produk makanan keluaran syarikat tempatan kerana ia mungkin lebih murah, segar,halal dan menjimatkan pertukaran mata wang asing.
  2. Beli buah-buahan pada musimnya kerana harga adalah lebih murah dalam keadaan yang tidak membazir, ini kerana tabiat membazir dilarang keras dalam agama islam.
  3. Beli makanan secara borong terutama makanan yang tidak mudah rosak.
  4. Makan makanan semulajadi, segar dan makanan organik berbanding makanan dalam bentuk yang sudah diproses.
  5. Amalkan tanam sendiri sayur-sayuran untuk pemeliharaan alam sekitar.
  6. Usahakan sendiri sumber makanan jika boleh kerana manfaat khasiat dan kurang bahan kimia.
  7. Beli makanan berdasarkan harga seunit sukatan atau bilangan bagi tujuan perbandingan.
  8. Tentukan makanan adalah seimbang dari segi khasiatnya.
  9. Pastikan makanan berada dalam keadaan yang baik dan elum melewati tarikh akhir.
  10. Pastikan makanan yang bertin tidak kemek atau berkarat tidak sempurna pengetinannya.
Selain daripada aspek makanan, tempat kediaman juga perlu di ambil kira dari aspek yang sewajarnya bagi setiap pengguna. Segala proses memiliki rumah perlu diketahuai agar tidak berlaku penipuan atau sebarang masalah. Biasanya pengguna yang membina dan membeli rumah melalui pihak pemaju banyak menimbulkan masalah, seperti pemaju menggunakan bahan-bahan binaan yang tidak berkualiti dan tidak menyiapkan rumah dalam tempoh perjanjian. Maka dengan itu gunakan hak anda sebagai pengguna dan selesaikan dengan cara yang berkesan agar semua pihak mendapat hak yang sewajarnya.
Hak mendapat keperluan asas juga meliputi hak kesihatan. Di mana pengguna harus memastikan aspek kesihatan tidak diekploitasi oleh pihak yang tidak betanggungjawab. Apa yang penting kita sebagai pengguna harus mengambil langkah terbaik untuk kesihatan diri sendiri. Umpamanya anda boleh mengikuti panduan di bawah untuk menunaikan tanggunjawab pengguna dalam aspek kesihatan:-
  • Sentiasa makan makanan seimbang dan mengikut peraturan
  • Sentiasa bersenam
  • Jangan menghisap rokok
  • Jauhi najis dadah
  • Adakan masa bersama keluarga
  • Dapatkan rehat yang cukup jangan minum minuman beralkohol
  • Jadilah pengguna bermaklumat mengenai kesihatan
Setelah berbincang mengenai aspek makanan tempat tinggal dan kesihatan, bagaimana pula dengan hak pengguna terhadap pakaian? Pakaian yang dibeli mestilah bersepadanan dengan kualiti dan harga . Pastikan sebarang ketidakpuasan pengguna semasa dan selepas membeli pakaian dapat diselesaikan secara profesional.


Sebagai pengguna yang bijak, kita haruslah sentiasa peka terhadap ciri-ciri keperluan asas yang baik yang sepatutnya kita perolehi. Sekiranya tidak mendapat keperluan asas yang sewajarnya kita perlulah bertindak atas dasar hak pengguna


Isu  1:


Harga Beras Semakin Stabil, Kata Shahrir 



May 13, 2008 21:45 PM  



KUALA LUMPUR, 13 Mei (Bernama) -- Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Shahrir Abdul Samad berkata sudah ada tanda-tanda yang menunjukkan harga beras semakin stabil ekoran pelbagai langkah yang diambil kerajaan. Beliau berkata kekecohan mengenai masalah bekalan beras dan kenaikan harga makanan ruji rakyat Malaysia itu juga sudah berkurangan. "Sekarang nampak kurang kecohya, pokoknya bagaimana kerajaan nyatakan (langkah hadapi masalah beras) dan rakyat tidak harus rasa panik kerana bekalan kini cukup, tidak ada kegawatan atau masalah daripada segi nak dapatkan bekalan," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari Selasa. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai lima langkah yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk memastikan bekalan beras mencukupi dan membendung kenaikan harga yang berterusan ekoran kenaikan mendadak di pasaran baru-baru ini. Antara langkah yang berkuatkuasa serta-merta itu ialah mengekalkan beras Super Tempatan 15 peratus sebagai beras yang dikawal harga antara RM1.65 sekilogram hingga RM1.80 sekilogram mengikut zon. Harga siling beras Super Special Tempatan (SST) lima peratus pula ditetapkan pada RM2.80 sekilogram manakala beras SST 10 peratus pada RM2.70, berkuatkuasa 1 Jun. Shahrir berkata kementeriannya menggerakkan seramai 2,000 penguatkuasa dan 2,000 pemantau harga di seluruh negara bagi memantau bekalan dan harga beras di pasaran. "Pemantauan ini bukan saja dilakukan terhadap harga tetapi bekalan, penguatkuasa akan memberitahu kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani tentang keadaan yang berlaku," katanya.



Beliau berkata tindakan juga akan diambil ke atas mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan dan mengaut keuntungan lebih. "Ada taktik lain seperti mungkin ada peniaga yang mencampur beras 15 peratus tetapi menjual dengan harga tidak sepatutnya, kita perlukan maklumat orang ramai jika keadaan ini berlaku, apa yang penting ialah kualiti dan gred beras yang dikawal harganya dapat dilaksanakan sebaiknya," katanya. Shahrir berkata kawalan harga beras Super Special Tempatan membolehkan pihak pengilang dan peniaga mendapat keuntungan secukupnya manakala pendapatan petani tidak terjejas. Bagi memastikan beras tidak diseludup, beliau berkata Bahagian Penguatkuasa kementeriannya akan bekerjasama dengan Bahagian Kawal Selia Padi dan Beras Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. "Ini termasuk kawalan di sempadan negara iaitu di pintu masuk utara dan selatan kerana beras sudah digazetkan sebagai bahan makanan yang tidak boleh dibawa keluar dari negara kita, kita juga perlukan kerjasama daripada pihak kastam," katanya. Sementara itu, Duta Thailand ke Malaysia Piyawat Niyomrerks berkata Thailand komited untuk menyerahkan beras kepada Malaysia secepat mungkin. "Thailand komited untuk menyampaikan beras secepat yang kami boleh, dan mungkin seawal-awal pada awal Jun," katanya mengulas mengenai beras yang dibeli oleh Padiberas Nasional Berhad (Bernas) dengan negara itu. Terdahulu, Piyawat mengunjungi Timbalan Menteri Luar Datuk Abdul Rahim Bakri dan meluangkan masa mengikuti sesi persidangan Dewan Rakyat.
-- BERNAMA

Isu  2
Kerajaan Belanja RM2.4 Bilion Untuk Bekalan Makanan Tahun Ini 


May 02, 2008 18:26 PM  

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed.

PUTRAJAYA, 2 Mei (Bernama) -- Kabinet, yang bersidang hari ini, meluluskan peruntukan RM2.49 bilion, di bawah Dasar Jaminan Bekalan Makanan untuk menjamin bekalan makanan negara bagi tahun ini, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed mengumumkan hari Jumaat. Beliau berkata peruntukan itu adalah sebahagian daripada RM4 bilion yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, tidak lama dahulu, untuk menangani isu bekalan makanan dan harga makanan negara. "Keadaan bekalan makanan sedia ada dalam negara adalah mencukupi. Walau bagaimanapun, berikutan peningkatan berterusan harga makanan di pasaran dunia, kabinet telah meluluskan Dasar Jaminan Bekalan Makanan Negara tiga minggu lepas," katanya di sidang akhbar di pejabatnya di sini. Beliau berkata Kementerian itu telah mengenalpasti tujuh langkah pelaksanaan bagi peruntukan yang baru diluluskan itu.
Langkah-langkah itu adalah:
(i) peningkatan pengeluaran beras;
(ii) pengwujudan stok penimbal beras;
(iii) pemberian insentif kepada pengusaha-pengusaha pertanian;
(iv) program peningkatan pengeluaran dan produktiviti bagi sektor tanaman, ternakan dan perikanan;
(v) mengukuhkan FAMA bagi memastikan pasaran dan pengagihan hasil-hasil pertanian;
(vi) pelaksanaan program Bumi Hijau; dan
(vii) pengurusan kawasan terbiar untuk meningkatkan pengeluaran komoditi sekuriti.

Beliau berkata pengeluaran padi akan ditingkatkan melalui program peningkatan produktiviti yang merangkumi;
* penyelenggaran dan penaiktarafan infrastruktur;
* pengurusan ladang sawah secara optimum seperti melalui perataan tanah, pengawal perosak, penggunaan baja dan input secara berkesan serta mekanisasi ladang; dan
* penyediaan peruntukan tambahan bagi membiayai insentif dan subsidi tambahan dengan peningkatan pengeluaran padi.

"Bagi melaksanakan program peningkatan produktiviti padi, kerajaan telah menyediakan peruntukan sebanyak RM803 juta bagi tahun 2008, bagi memastikan hasil pengeluaran padi musim akan datang meningkat," kata Mustapa.
Beliau berkata kerajaan juga telah memutuskan untuk meningkatkan jumlah stok penimbal beras dimana stok ini akan ditingkatkan kepada bekalan selama tiga bulan. Peningkatan jumlah stok penimbal ini akan dilakukan secara beransur-ansur melibatkan kesemua jenis beras pelbagai gred yang diperlukan dalam pasaran tempatan, katanya. Mustapa berkata bagi pengwujudan stok penimbal beras, kerajaan telah pun menyediakan peruntukan sebanyak RM1.005 bilion bagi tahun ini. "Bagi meningkatkan pengeluaran dan produktiviti sayur-sayuran, buah-buahan, daging lembu dan kambing serta akuakultur, ia melibatkan program-program taman kekal pengeluaran makanan, zon industri akuakultur, pembangunan hatcheri benih udang dan ikan serta perolehan baka lembu dan kambing bagi meningkatkan pengeluaran daging negara," kata Menteri itu. Beliau juga berkata bagi melaksanakan program-program peningkatan pengeluaran dan produktiviti bagi sektor tanaman, ternakan dan perikanan adalah sebanyak RM90 juta bagi 2008. Mustapa berkata memandangkan kepada peningkatan dalam kos pengeluaran barang-barang makanan seperti baja dan racun perosak, kerajaan telah bersetuju memberi insentif pengeluaran pengusaha-pengusaha pertanian yang menghasilkan bahan-bahan asas pertanian bagi menampung sebahagian peningkatan kos. "Bagi melaksanakan pembayaran insentif ini, pengusaha-pengusaha perlu berdaftar dengan Kementerian bagi melayakkan mereka menerima insentif ini. "Kementerian sedang memperincikan pelaksanaan bayaran insentif ini agar pengesahan pengeluaran sebenar boleh dibuat bagi mengelakkan insiden penyelewengan. Pelaksanaan insentif ini akan bermula Jun, 2008," katanya. Bagi melaksanakan program insentif ini, peruntukan sebanyak RM513 juta telah diluluskan bagi 2008. Bagi memastikan hasil-hasil pertanian yang dikeluarkan itu dipasarkan secara berkesan, FAMA akan meningkatkan keupayaan pemasaran hasil-hasil pertanian melalui pembangunan pusat pengedaran, pusat pengumpulan serta peningkatan bilangan pasar tani sebanyak 50 pasar tani di seluruh negara sebagai tambahan kepada 230 pasar tani yang sedia wujud. Bagi 2008, FAMA telah diluluskan peruntukan sebanyak RM39 juta bagi melaksanakan program ini, kata Mustapa. "Daripada jumlah tersebut wang pusingan urus niaga berjumlah RM25 juta untuk membolehkan pembelian hasil pertanian, program-program pertanian akan disediakan," katanya. Menteri itu juga berkata program Bumi Hijau akan meliputi kawasan bandar dan desa dengan menggalakkan penduduk bercucuk tanam dan menternak ayam dan ikan atau dengan kombinasi yang sesuai untuk menampung keperluan keluarga dan selebihnya boleh dijual. Program ini, katanya, akan dilaksanakan di halaman rumah dengan mengambilkira konsep "kitchen garden" dan "edible landscape". "Kementerian akan mengedarkan biji benih sayuran terpilih, baja serta manual pelaksanaan kepada seluruh lapisan masyarakat. Peruntukan yang diluluskan bagi program ini bagi tahun 2008, adalah sebanyak RM20 juta," kata Mustapa. Bagi tanah terbiar, beliau berkata ianya boleh digunakan dalam masa yang singkat bagi meningkatkan pegeluaran hasil-hasil pertanian. "Tumpuan akan diberikan terhadap tanah hak milik perseorangan yang terletak berhampiran di antara satu sama lain, melalui kaedah 'profit-sharing' dengan pihak swasta yang dikenalpasti. "Peruntukan yang diluluskan adalah sebanyak RM20 juta untuk 2008 untuk membangunkan kira-kira 1,000 hektar kawasan pertanian dan kolam terbiar bagi tahun ini," kata Mustapa.
-- BERNAMA
\







Isu  3
Harga Barang Kawalan Akan Diseragamkan
May 05, 2008 12:46 PM 
KUALA LUMPUR, 5 Mei (Bernama) -- Harga barang kawalan dan barang keperluan yang diberi subsidi akan diseragamkan di seluruh negara bagi membolehkan golongan berpendapatan rendah mendapat faedah sebenar, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Shahrir Abdul Samad. Beliau berkata itu merupakan satu daripada tiga langkah yang akan diambil bagi menangani masalah kenaikan harga barang akibat daripada kenaikan harga minyak. Langkah lain ialah mewujudkan sistem pengurusan subsidi dan menentukan golongan sasar yang sepatutnya menerima faedah itu. "Kalau kita benar-benar nak melindungi golongan berpendapatan rendah, secara prinsipnya, kita perlu menyeragamkan sesuatu harga barang keperluan itu, yang dapat subsidi atau barang kawalan, seragam di Semenanjung, Sabah dan Sarawak. "Negara kita bukan terletak di Semenajung Malaysia sahaja," katanya kepada soalan Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini. Khairy bertanyakan sama ada kerajaan akan memperkenalkan langkah baru dalam menangani masalah kenaikan harga barang sejajar dengan kenaikan harga minyak dan harga makanan di seluruh dunia.
Shahrir bagaimanapun tidak menyatakan bila langkah penyeragaman itu akan dilaksanakan. Beliau turut menjelaskan bahawa satu jawatankuasa inflasi negara telah dibentuk bagi menentukan dasar jaminan bekalan negara dengan peruntukan awal sebanyak RM4 bilion. "Setakat ini, RM2.5 bilion telah dipohon bagi tujuan membantu sektor pertanian bagi menambahkan bekalan ruji negara, seperti menambah bekalan dan kawasan penanaman padi serta stok penimbal, kurangkan kos pengeluaran selain untuk menggalakkan amalan berdikari," katanya. Menjawab soalan tambahan Dr Tan Seng Giaw (DAP-Kepong), Shahrir berkata kerajaan tidak bercadang meletakkan kerosin (minyak tanah) sebagai sebahagian daripada 11 barang kawalan seperti petrol, diesel dan LPG. "Kalau nak masukkan kerosin, beban inflasi akan bertambah. Sekarang kita dah berdepan dengan pilihan untuk subsidi makanan dan bahan api. Mampukah ini berterusan? Kita dah belanja RM30 bilion tanggung bahan api. Sekarang RM4 bilion lagi bagi makanan," katanya.

-- BERNAMA


Isu 4
Harga Beras Super Tempatan Kekal, Kata Shahrir
April 30, 2008 20:45 PM 
KUALA LUMPUR, 30 April (Bernama) -- Harga beras super tempatan 15 peratus hancur yang dikawal kerajaan kekal dan tidak boleh dinaikkan dengan sesuka hati oleh peniaga, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Shahrir Samad. Beliau berkata berbanding beras gred lain yang diimport dan tidak dikawal, beras gred itu tidak boleh dijual melebihi RM17.50 bagi 10kg beras dan mana-mana peniaga yang mengingkarinya akan dikenakan tindakan. "Kalau beras 15 peratus hancur naik harga, itu boleh lapor kepada kementerian saya," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen mengulas kenaikan harga beras ekoran kenaikan harga komoditi itu di pasaran dunia sejak akhir-akhir ini. Beras gred super tempatan 15 peratus hancur dikawal antara RM1.65 sekilo dan RM1.75 sekilo, mengikut kawasan, digunakan golongan berpendapatan rendah di negara ini. Shahrir berkata kenaikan harga beras import yang tidak dikawal sememangnya dijangka ekoran kenaikan harga beras dunia selepas berlakunya krisis bekalan komoditi itu negara-negara pengimport, sepertimana harga beras Siam (Thailand) yang meningkat sehingga RM32 bagi 10kg beras. Beliau berkata kerajaan telah meminta Bernas mengimport lebih banyak beras bagi memastikan bekalan komoditi itu mencukupi bagi keperluan pengguna selain untuk simpanan Stok Penimbal Kebangsaan.
Shahrir berkata melalui Dasar Jaminan Makanan, kerajaan juga akan memastikan bekalan komoditi itu cukup dan harganya berpatutan selain memastikan sistem pengedarannya sampai kepada golongan sasaran. Katanya stok penimbal beras telah disiapkan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan langkah-langkah pelaksanaan stok itu akan diumumkan menteri terbabit selepas mesyuarat Kabinet, Jumaat ini. Ditanya apakah nasihatnya kepada pengguna, Shahrir yang juga Anggota Parlimen Joor Baharu berkata masyarakat perlu mengubah gaya pemakanan daripada menggunakan beras mahal yang dimport kepada beras yang lebih murah.

-- BERNAMA



Isu  5
Pengguna Di Sabah & Sarawak Akan Dapat Beras Super 15 Peratus Dikawal Harga Mulai 1 Jun
May 30, 2008 21:23 PM 
KUALA LUMPUR, 30 Mei (Bernama) -- Para pengguna di Sabah dan Sarawak boleh mendapatkan beras gred Super 15 peratus (S15) pada harga kawalan runcit berkuatkuasa 1 Jun Pada harga beras Super Tempatan 15 peratus di Semenanjung. "Harga kawalan RM1.80 sekg bagi gred ini ditetapkan bagi kawasan di tujuh pelabuhan utama, iaitu Kota Kinabalu, Tawau, Sandakan dan Lahad Datu di Sabah; dan Kuching, Sibu dan Miri di Sarawak," kata Padiberas Nasional Bhd (Bernas) dalam satu kenyataan di sini Jumaat. Bernas berkata beras S15 peratus itu boleh diperolehi dalam enam jenama keluaran anak-anak syarikatnya di Sabah dan Sarawak yang boleh dikenal pasti melalui penggunaan pelekat berwarna biru "Super Beras nasional 15%" yang ditampal di kampit. Di Sabah ia menggunakan jenama Beras Super Vietnam (15 peratus), manakala di Sarawak ia menggunakan jenama Cap Hornbill KenyalangCap, Beras Premium Beras Vietnam 25, Cap Batang Rajang, Beras Super Cap Ikan Gurami (ungu) dan Emperor. Untuk kemudahan para pengguna di masa depan, mulai 1 Julai, penggunaan kampit 10 kg yang diseragamkan dengan jenama nasional " Super Beras nasional 15%" akan di perkenalkan di Semenanjung, Sabah dan Sarawak bagi menggantikan penggunaan pelekat pada pelbagai jenama S15 peratus. Ini bagi memastikan satu identiti konsisten dan membantu para pengguna dengan mudah gred beras ini di dalam pasaran. Langkah penyeragaman ini diambil untuk memastikan bekalan beras pada harga kawalan yang mampu dibeli oleh pengguna berpendapatan rendah dan pertengahan dalam menghadapi peningkatan harga beras global.
-- BERNAMA


Isu  6
Pastikan bekalan gula sentiasa mencukupi                                         
WEDNESDAY, 20 JANUARY 2010 22:38

Jaminan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan bahawa harga gula tidak akan dinaikkan sebelum dan selepas Tahun Baru Cina amat dialu-alukan. Jaminan ini bertujuan supaya pengguna tidak membuat pembelian panik dan dalam masa yang sama juga mengelakkan pemborong daripada menyorok bekalan tersebut. Namun begitu, bagi pengguna, yang penting bukan sahaja faktor harga, tetapi juga bekalan yang sentiasa mencukupi untuk menampung keperluan harian, khususnya untuk kegunaan semasa perayaan, seperti Tahun Baru Cina. Dalam masa yang sama, kerajaan juga perlu memantau kegiatan pengilang dan pemborong. Pengilang boleh bertindak mengurangkan pengeluaran untuk pasaran runcit dan memperbanyakkan pengeluaran untuk kegunaan industri yang lebih luas pasarannya. Begitu juga dengan pemborong. Ada peruncit yang mengadu bahawa pemborong menjual gula pada harga RM1.65, menyamai harga runcit yang ditetapkan oleh kerajaan. Apa keadaan ini berlaku peruncit berada dalam keadaan dilema, iaitu sama ada menjual gula tersebut pada harga yang lebih tinggi daripada yang ditetapkan oleh kerajaan, dan bersedia untuk menerima tindakan oleh penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, atau tidak menjualnya langsung. Jika pilihan kedua yang diambil, maka pengguna akan berhadapan dengan masalah ketiadaan bekalan gula. Akta Kawalan Harga 1946 perlu dikaji semula agar tindakan penguatkuasa tidak hanya dilakukan ke atas peruncit sahaja, tetapi juga kepada pengilang dan pemborong.


Mohd Yusof Abdul Rahman

Isu  7:
PRODUK MAKANAN DITARIK BALIK                                       
WEDNESDAY, 03 MARCH 2010 06:07

Syarikat Sunfield Australia Pty Ltd telah menarik balik produknya, Sunfield Carrot Bar dan Sunfield Date Bar daripada pasaran kerana kandungan kacang (Walnut dan Almond) telah dicemari oleh alergen yang boleh menyebabkan kesakitan atau alergi. Produk ini dijual dengan meluas di kawasan New South Wales di Australia. Nombor pengenalan atau kod nombor produk tersebut adalah APN/EAN/TUN Numbers: Sunfield Carrot Bar – 9323136000067 dan Sunfield Date Bar – 9323136000030.  Sekiranya pengguna mendapati barangan ini dijual di pasaran, mereka dinasihati supaya tidak membelinya dan membuat aduan kepada Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan di talian +603-8883 3888.

Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia